Pelakon Fasha Sandha mengakui kesibukan dirinya menjalani penggambaran, membuatkan dia tidak mempunyai masa yang lama untuk bersama keluarga.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, berkata, pada tahun ini dia ingin membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya supaya dia dapat melebihkan masa bersama anak-anaknya.

"Menjalani penggambaran yang lama membuatkan saya tidak mempunyai banyak masa untuk bersama keluarga melakukan aktiviti bersama-sama.

"Jadi pada tahun ini saya berharap agar dapat membahagikan masa yang lebih untuk bersama keluarga dan anak-anak.

"Saya juga berharap agar dapat memperbaiki segala kelemahan diri yang ada supaya dapat menjadi yang terbaik untuk mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan akhir drama bersiri Lara Aishah bersama peminat di Subang Jaya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai lakonannya dalam drama Lara Aishah, Fasha berkata dia bersyukur kerana lakonannya diterima dan mendapat tempat di hati penonton meskipun ia merupakan drama yang berepisod panjang.

"Saya juga telah melakukan yang terbaik sepanjang melakonkan watak Aishah dan ia merupakan satu pencapaian terbaik dalam karier lakonan saya," katanya.

Teks Oleh : Rozaimi Zubaidi