Kumpulan Senario mengakui tidak pernah berasa tergugat dengan kehadiran ramai pelawak baharu yang muncul menerusi program realiti.

Menurut pelawak Azlee atau Mohd Azlee Jaafar, 50, berkata, ramai beranggapan kehadiran pelawak baru telah membuatkan nama kumpulan Senario seolah-olah dilupakan.

"Kumpulan Senario sudah bertapak selama 20 tahun dalam industri dan tidak ada apa lagi yang perlu dibuktikan selain perlu menerima hakikat kitaran populariti seseorang artis.

"Pada saya tidak perlu kami berasa tergugat dengan kehadiran bakat-bakat baharu ini kerana mereka merupakan pelapis pelawak di Malaysia ini.

"Soal dilupakan atau pun tidak bukan isu kerana ia kitaran biasa bagi seseorang selebriti dan kami menerima hakikat itu.

"Pelawak generasi baharu ini adalah pelapis pada masa hadapan selain ia bukti industri komedi di negara ini semakin berkembang pesat," katanya kepada Astro Gempak.

Azlee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran muzik video SenarioToons nyanyian kumpulan Lawa Nie Gang di Warner Music, baru-baru ini.

Tambah Azlee, mereka juga tidak mempunyai sebarang keberatan sekiranya diminta untuk bekerjasama dengan pelawak baharu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi