Bintang Running Man, Ji Suk Jin sebak sebaik saja mendengar luahan hati isterinya, Ryu Soo Jung terhadap perkahwinan mereka.

Perkara itu didedahkan menerusi episod terbaru Running Man berjudul “Big Nose’s Week” yang bakal bersiaran pada Jumaat ini.

Ryu Soo Jung telah menulis sepucuk surat dan kemudiannya membacakan hasil nukilan tersebut kepada suaminya dengan memakai gaun pengantin.

“Kehadapan suami tersayang, Sudah hampir 20 tahun usia perkahwinan kita dan sejak pertama kali bertemu, awak merupakan seorang pemuda berusia 24 tahun.

“Daripada seorang kekasih yang kemudiannya bertukar menjadi seorang bapa kepada Hyun Woo selepas saya melahirkannya.

“Walaupun sering berselisih pendapat namun kita tetap tidak lupa untuk mengambil berat terhadap satu sama lain.

"Kita juga sering menjaga antara satu sama lain supaya sentiasa sihat dan tidak jatuh sakit.

“Awak merupakan sahabat baik saya seumur hidup, sering menjaga dan melindungi saya serta anak tidak kira masa. Layanan awak terhadap saya begitu baik sekali.

“Mereka berkata tidak ada jalan untuk mencapai kebahagiaan melainkan jalan itu sendiri yang membawa ke arah bahagia.

“Tetapi bagi saya, selagi keluarga kita kekal di jalan tersebut dan terus memandang ke hadapan, kehidupan kita pasti akan disinari dan dipenuhi dengan kebahagiaan.

“Saya harap kehidupan kita akan kekal indah dan saya mohon supaya awak kekalkan hubungan ‘persahabatan’ ini. Sayang, saya cintakan awak,” katanya.

Ji Suk Jin terharu dengan luahan isterinya itu kemudiannya menundukkan kepalanya sambil menahan sebak.

Dalam pada itu, Ryu Soo Jung juga menyatakan rasa syukur kerana Ji suk Jin merupakan seorang suami yang baik dan penyayang.

“Saya bersyukur kerana dia sentiasa berada disisi saya tidak kira saat susah mahupun senang. Saya harap kami dikurniakan umur yang panjang dan diberikan kesihatan yang baik.

“Saya juga berdoa supaya kami kekal bahagian hingga ke akhir hayat dan kepada suami, sayang, saya sangat cintakan awak,” ujarnya.

Jangan lupa saksikan Running Man, setiap Jumaat, jam 11.00 malam di One HD (saluran 393).