Bekas pelajar Akademi Fantasia (AF2014) Ewal kini memperkembangkan bakatnya dalam bidang lakonan menerusi drama berjudul Papa Ricky.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail, 25, menganggap drama tersebut merupakan platform besar bagi dirinya untuk meneruskan langkah sebagai anak seni.

“Alhamdulillah rezeki, saya terima tawaran untuk berlakon dalam drama ini kerana saya rasa ini merupakan peluang yang baik untuk saya mengetengahkan bakat.

“Selain menyanyi, saya juga ingin buktikan bahawa saya juga boleh berlakon. Karier seni itu tidak terhad dan ini merupakan salah satu langkah yang saya ambil untuk memajukan diri saya sebagai anak seni,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Bercerita mengenai lakonan, Ewal memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dan seronok sepanjang sesi penggambaran.

“Memang tidak ada masalah langsung dan saya berkan komitmen sepenuhnya terhadap drama ini.

“Cuma dari segi cabarannya pula ialah kekangan masa, adakalanya bertindih dengan waktu ‘show’ nyanyian saya.

“Jadi kadang-kadang saya kena berlari-lari untuk kejar waktu penggambaran, tapi tak mengapa saya anggap itu semua cabaran sebagai anak seni.

“Secara jujurnya memang saya seronok berlakon dan banyak benda baru yang saya belajar,” ujarnya.

Selain Ewal, Papa Ricky turut dibintangi oleh Fadlan Hazim, Elizad Sharifuddin, Hafizul Kamal dan Wafiy Ilhan.

Jangan lupa saksikan Papa Ricky, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Mya Amri