Pelakon Fattah Amin akui single terbarunya berjudul Wanita Terakhir adalah lagu yang disampaikan ikhlas dari hati untuk 'si dia'.

Apabila ditanya adakah 'si dia' yang dimaksudkan itu aktress dan pengacara Neelofa, Fattah enggan mengulas.

Malah, Fattah dilihat lebih selesa meninggalkan ia dalam tanda tanya tanpa menjelaskan siapa gerangan 'si dia' yang dimaksudkan.

"Apa yang saya boleh komen, hubungan saya dan Neelofa masih berkawan baik.

"Sebelum ini saya memang tidak pernah menjelaskan secara spesifik siapa wanita dalam lagu yang saya nyanyiakan itu.

"Banyak hati yang perlu saya jaga. Apa yang boleh saya katakan, doakan lah yang baik-baik sahaja untuk saya.

"Tetapi peminat tahu siapa 'si dia' yang saya maksudkan," katanya kepada Astro Gempak.

Wanita Terakhir adalah hasil ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan yang dilancarkan pada 1 Januari.

Single kedua Fattah itu mencipta sejarah tersendiri dengan menduduki kedudukan teratas carta iTunes Malaysia.

Fattah memberitahu dia sendiri tidak menyangka apabila lagu tersebut mendapat sambutan yang luar biasa.

"Saya ditawar untuk menyanyi lagu ini oleh Aizat secara tiba-tiba tanpa saya duga. Saya lakukannya kerana saya suka dengan lagunya.

"Saya benar-benar tak sangka ia disukai oleh ramai pendengar terutama peminat saya sehingga berjaya menduduki kedudukan tertinggi carta iTunes," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal