Pemenang program realiti Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid kini tampil dengan single terbaru yang berjudul Aku Sanggup.

Menariknya, single ini menampilkan muzik balada tangkap leleh seperti muzik popular tahun 90-an.

"Selepas single Kisah Dua Muka dan Hancur, saya kini muncul dengan Aku Sanggup. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Edry Abdul Halim. Lirik pula merupakan hasil kolaborasi saya bersama Edry.

"Saya mengikut nasihat pihak pengurusan untuk tampil dengan lagu yang mempunyai nuansa muzik 90-an kerana lagu-lagu sebegini mendapat tempat di hati peminat muzik masa kini," katanya.


Tambah Sufi, pada awalnya, dia agak gementar untuk menyanyi dan merakamkan lagu Aku Sanggup.

"Pada mulanya, saya rasa sedikit risau kerana lagu ini bernada tinggi. Saya luahkan kerisauan tersebut kepada Edry. Sebagai komposer, Edry meyakinkan saya.

"Saya mengambil ini sebagai cabaran dan akhirnya lagu ini berjaya dirakamkan. Alhamdulillah, semenjak dilancarkan tiga minggu lalu, lagu ini semakin mendapat tempat di hati peminat. Ramai yang memberikan respon positif terhadap lagu ini," kata Sufi ketika ditemui di majlis pelancaran program baru saluran Tara HD pada Khamis.

Tiga rancangan baru iaitu Bollywood Express, Sensation SRK dan Bolly Stage bakal menemui peminat pada setiap Ahad bemula 29 Januari 2017 di Astro Tara HD (saluran 108).

Teks oleh: Kamaruddin Razal