Kemenangan Faizal Tahir menerusi kategori Penyanyi Koloborasi Terbaik pada malam Era Digital Music Award 2016 (ERADMA 2016) membuktikan penyanyi senior masih diterima.

Faizal telah menewaskan Juzzthin, Tasha Manshahar, Waris dan Yuna yang turut bertanding dalam kategori sama.

Kejayaan Faizal itu juga turut membuktikan generasi alaf baru, iaitu Millenial terbuka menerima karya penyanyi senior dan tidak tertumpu kepada pendatang baru sahaja.

Penyanyi berusia 38 tahun itu turut membuktikan dia masih relevan apabila lagu Negaraku hasil koloborasi bersama Altimet, Joe Flizzow dan SonaOne menjadi pilihan pendengar yang telah mengundi lagu tersebut menerusi undian Online.

"Saya sebenarnya tidak sangka akan menjadi pemenang pada malam ini kerana anugerah dilakukan secara nnline, yang kita semua dunia online ini dikuasai generasi alaf baru atau Millenial.

"Alhamdulillah, karya saya diterima sehingga generasi alaf baru, saya bersyukur dan kini saya perlu kerja lebih kuat untuk terus kekal relevan," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Syamel menerusi lagu Hidup Dalam Mati diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Paling Lama Dalam Carta Era 40.

Pendatang baru, Aiman Tino pula memenangi kategori Lagu Paling Emo 2016 menerusi karya Ku Rela Dibenci dan menewaskan empat lagu popular lain seperti Demi Cinta, Takkan Pergi, Sudah Ku Tahu dan Terakhir.

Penyanyi lagu Nakal, Ayda Jebat memenangi kategori Temubual Tetamu Terbaik Carta Era 40.
Manakala, kumpulan Colour of Voices memenangi kategori Penyanyi Harapan Baru Pilihan Digi 2016.

Pemenang dipilih sepenuhnya menerusi undian peminat di laman web Era FM yang dibuka sejak 4 sehingga 17 Januari 2017.

Acara yang pertama kali dianjurkan oleh Era FM ini bersiaran secara langsung di Facebook Live radio berkenaan.

ERADMA 2016 yang berlangsung selama satu jam di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada malam Rabu telah dihoskan oleh pelawak Nabil Ahmad.

Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan Altimet, Ayda Jebat, Syamel, Amira Othman, Khai Bahar, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rosli.