Anggota Running Man iaitu, Ha Ha, Kim Jong Kook, Yoo Jae Suk, Kim Ji Hyo, Jii Suk Jin dan Lee Kwang Soo tidak tahu kehadiran Kang Gary di episod terakhir program tersebut.

Menurut sumber dalaman, Gary sudah pun menjalani penggambaran untuk episod berkenaan pada 17 Januari lalu.

Episod akhir itu akan ditayangkan pada 29 Januari ini.

“Episod ini akan ditayangkan dua minggu selepas penggambaran dan kandungannya perlu dirahsiakan. Apa yang pasti akan ada banyak kejutan dan rahsia yang akan didedahkan,” kata penerbit Running Man, Lee Hwan jin.

Kemunculan istimewa Gary itu adalah yang pertama selepas kali terakhir beraksi menerusi episod 324 selain muncul seketika pada episod 235.

Penampilan Gary sudah pasti menggembirakan hati semua peminat yang kecewa selepas program popular tersebut diumumkan bakal ditamatkan pada hujung bulan ini.