Pelakon dan pelawak Zizan Razak mengakui pernah pitam ketika mula-mula melakukan senaman di gym untuk membina otot badannya supaya kelihatan lebih sado.

Zizan ketika ditemui Astro Gempak berkata, insiden tersebut berlaku mungkin kerana badannya belum boleh menerima tekanan kerana sudah lama tidak bersenam.

“Bohong kalau saya katakan ia sesuatu yang mudah. Saya pernah pitam kerana terlalu penat menjalani latihan di gym.

“Jurulatih peribadi saya pula memang tak kasi ‘can’, walaupun saya dah nyawa-nyawa ikan dia tetap ‘dera’ saya supaya teruskan senaman sebab dia nak pastikan badan saya sado seperti Zac Efron.

“Tapi itu masa mula-mula dululah, sekarang ni saya dah fit dah. Sikit lagi dapatlah ‘six pack’ kat perut saya ni,” seloroh Zizan.

Tambah Zizan lagi, dia kini lebih banyak menghabiskan masa di gym untuk melakukan aktiviti Muay Thai pada waktu pagi dan senaman membina otot pada waktu petang.

“Badan saya memang sakit-sakit tetapi demi Polis Evo 2, saya tidak patah semangat malah menganggapnya sebagai cabaran.

“Saya perlu buktikan yang saya mampu mendapatkan bentuk tubuh seperti yang dikehendaki pengarah filem.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan misi saya ini berjaya kerana watak saya dalam Polis Evo 2 lebih mencabar. Jadi setakat pitam, sakit-sakit badan tu tak hairanlah,” katanya ketawa.

Zizan ditemui pada majlis bertemu pemenang peraduan Astro 30 Tahun di Lubok Café, Bukit Setiawangsa pada petang Rabu.

Dalam pada itu, menurut Zizan dia kini mengurangkan aktiviti seninya untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada Polis Evo 2.

“Semangat saya untuk Polis Evo 2 berkobar-kobar, lebih-lebih lagi seperti semua orang tahu Polis Evo adalah filem terlaris di Malaysia setakat ini.

“Saya telah meminta pihak pengurusan untuk memberi kelonggaran kerana saya betul-betul kena bersedia dan mereka membenarkannya.

"Sekarang saya tidak mengambil projek lain bagi memberi ruang kepada saya untuk fokus dan tidak rasa terganggu,” jelasnya.