Penerbit Dato' Sri Raja Shah Rezza akui terpaksa memanggil pelakon jalani tiga kali penggambaran untuk super telemovie Permata Hati.



Shah Rezza berkata dia tidak kisah menelan belanja yang besar apabila berbuat begitu demi mendapatkan hasil yang terbaik.



"Saya seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam apa jua yang saya lakukan.



"Saya tak kata pelakon yang terlibat tidak memberikan yang terbaik tetapi saya menjalani beberapa kali penggambaran hanya untuk menambahbaiki babak yang saya rasa perlu.



"Selepas sekali penggambaran saya tidak berpuas hati, saya panggil pelakon untuk menjalani beberapa babak yang saya rasa perlu ditambah sedikit.



"Malah ada lokasi yang saya rasa tidak sesuai untuk penggambaran saya telah reshoot di lokasi lain sehingga saya berpuas hati dengan hasilnya.



"Saya tahu saya perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk filem ini kerana memanggil beberapa kali pelakon terlibat tetapi saya tak kisah asalkan saya berpuas hati," katanya kepada Astro Gempak.



Permata Hati yang dibintangi pelakon utamanya Zul Ariffin dan Elaine Dally telah menjalani penggambaran pada tahun 2013



Reza Shah berkata dia mengambil masa tiga tahun untuk menayangkan Permata Hati kerana mencari platform yang sesuai untuk super telemovie tersebut.



"Selain kekangan masa, selama tiga tahun itu sebenarnya saya mengambil masa untuk mencari platform yang sesuai untuk naskah saya.



"Saya bersyukur kerana Astro First menerima Permata Hati dengan baik untuk ditayangkan di platform mereka," katanya lagi.



Selain penerbit, Reza juga merupakan pengarah bersama Feroz Abdul Kadir untuk super telemovie tersebut.



Permata Hati turut dibintangi oleh Elfira Loy, Edika Yusof, Zoey Rahman, Danny X Factor, Liza Abdullah, Wulan Guritno dan ramai lagi.



Permata Hati mengupas konflol kekeluargaam yang berlaku dalam keluarga Aizuddin (Zul Ariffin) dan isterinya Sofea (Elaine Daly). Kebahagiaan mereka tergugat selepas Aizuddin dimaklumkam mempunyai anak luar nikah hasil hubungan sulitnya dengam Sandra (Wulan) beberapa tahun lalu.



Super telemovie yang berdurasi 1 jam 50 minit ini boleh ditonton di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 26 Januari ini.



Teks oleh Syafiqah Jalal