Selepas kejayaan lagu Ada Saja, pelakon cantik Amyra Rosli kini muncul dengan single terbaru yang berjudul Kisah Cinta Kita, duet bersama suaminya, aktor Amar Baharin.

“Selepas bidang lakonan, kami berdua ingin mencuba pula cabang seni yang lain pula. Ini merupakan percubaan kedua saya dalam bidang nyanyian.

“Berbeza dengan single pertama saya bersama Waris dan Juzzthin yang menampilkan susunan muzik yang agak rancak, Kisah Cinta Kita menampilkan muzik genre balada.

“Lagu ini mengisahkan mengenai kisah cinta kami. Perjalanan kisah cinta saya dan Amar dirangkumkan dalam lagu ini,” kata Amyra kepada Astro Gempak.

Tetap meletakkan bidang lakonan sebagai cinta pertamanya, Amyra mencabar diri sendiri untuk membuat yang terbaik dalam bidang nyanyian.

“Saya tak meletakkan keutamaan pada bidang nyanyian. Bidang lakonan masih menjadi fokus utama saya. Namun begitu, apabila saya mencuba bidang nyanyian, saya lakukan secara all-out dan sehabis baik.

“Seperti lagu Ada Saja, single tersebut sebenarnya bukan genre yang sesuai dengan saya. Namun begitu, saya mengambil keputusan untuk mencuba dan mencabar diri sendiri.

“Apa salahnya jika saya melakukan sesuatu yang berbeza. Alhamdulillah, lagu tersebut menerima respon positif di kalangan peminat.

“Kejayaan tersebut bukan hanya bergantung kepada saya, Waris dan Juzzthin sebagai penyanyi, tetapi pihak komposer dan syarikat rakaman turut sama-sama berusaha menjayakan lagu ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal