Pendatang baru, Azam Smile mengakui tidak terkesan dengan lambakan penyanyi baru dalam industri muzik tanahair.

Azam Smile atau nama sebenarnya Mohd Azam Abidin, 29, berkata, sebagai penyanyi dia harus untuk mempercayai pada rezeki yang ditentukan dan tidak harus risau mengenai kehadiran ramai penyanyi baru.

"Pada awalnya rasa risau juga kerana kini ramai penyanyi baru yang telah mewarnai industri muzik tanahair.

"Namun perkara itu bukan menjadi masalah kepada saya, kerana ini merupakan rezeki masing-masing yang telah ditetapkan.

"Sebagai seorang penyanyi saya harus positif menerusi karya yang dihasilkan supaya ia dapat diterima oleh orang ramai," katanya kepada Astro Gempak.

Azam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya 'Sudahlah Sayang', di Warner Muzik, Damansara, baru-baru ini.

Tambah Azam, single terbaharunya 'Sudahlah Sayang' ini merupakan ciptaan sepenuhnya daripada komposer Aiman atau dikenali sebagai Zul 2by2.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi