Kehidupan mewah dan gaya hidup pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta bakal disingkap dalam program realiti digital The House musim ketiga.

Penonton bakal bepeluang untuk mengetahui kisah di sebalik kehidupan penuh glamour Che Ta yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan masyarakat umum sebelum ini.

The House juga turut memaparkan ragam dan kisah ahli keluarga Che Ta yang lain seperti Zain Saidin sebagai seorang suami yang romantik yang berusaha keras dalam bidang perniagaan yang diceburi serta tiga cahaya mata beliau termasuk Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sebagai anak bujang Che Ta daripada perkahwinannya yang terdahulu serta Aaisyah Dhia Rana yang comel yang bijak bergaya.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak Raja Jastina Raja Arshad, berkata pemilihan Che Ta sebagai selebriti dalam The House disifatkan oleh Astro sebagai tepat kerana pengaruh luar biasa yang dimiliki aktres jelita itu.

“Che Ta mempunyai pengaruh yang kuat di media massa terutamanya di jaringan media sosial kerana setiap perkongsian beliau akan menjadi ikutan dan bualan ramai. Tidak terkecuali juga kehidupan keluarga beliau merupakan antara carian tertinggi utama di laman sesawang

"Sebut sahaja nama Che Ta, pasti ramai yang membayangkan kehidupannya yang cukup mewah.

"Selain mempunyai personaliti yang menyenangkan serta bijak bergaya, Che Ta juga cukup terkenal dengan sikap ramah yang sering berbicara menggunakan loghat utara," katanya kepada Astro Gempak.

Sepanjang mereka berada di dalam The House, pelbagai cabaran yang akan diberikan untuk menghasilkan suasana yang menarik dan bermanfaat untuk ditonton oleh masyarakat.

Setiap episod program ini akan memberikan nilai-nilai murni kekeluargaan dan kemanusian kepada penonton dan juga keluarga artis itu sendiri.

Dalam masa sama, Jastina juga mengakui, sikap keterbukaan Che Ta untuk berkongsi kemewahan yang dimiliki bersama peminat kadang kala turut mengundang kritikan ramai.

Namun, satu perkara yang sangat dikagumi mengenai Che Ta ialah, artis popular itu enggan mengambil pusing kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap gaya hidupnya itu.

Figura jelita ini sebaliknya semakin rancak mengembangkan empayar perniagaannya dan sering menegaskan bahawa segala kemewahan yang ada itu adalah hasil dari titik peluhnya sendiri.

“Menerusi The House, kami ingin tampilkan sisi lain beliau yang mungkin tidak pernah diketahui umum.

"Semangat yang beliau miliki dapat dijadikan inspirasi di samping memberi motivasi kepada orang ramai untuk berjaya.

"Melihat kepada populariti dan reputasi yang beliau miliki, kami yakin program ini bakal memikat hati para penonton yang pastinya berasa teruja untuk mengenali beliau dengan lebih dekat,” kata Jastina.

The House disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu bermula 18 Januari 2017 dan diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam bermula 25 Januari 2017.

Teks oleh; Syafiqah Jalal