Penyanyi Asmidar mengakui masih belum menemui pengganti bekas kekasihnya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lima tahun lalu.

Malah, Asmidar, 31, memberitahu sehingga kini dia masih mimpikan Allahyarham setiap kali teringat.

“Dia adalah sebahagian daripada hidup saya. Dia fenomena dalam hidup saya. Di awal penglibatan saya dalam bidang nyanyian, dialah yang telah banyak membantu dan membuka minda saya ke arah yang lain.

“Tidak mungkin saya dapat melupakan dia. Tetapi, saya kini sudah semakin terbuka dan dewasa untuk membuat keputusan dalam hidup saya.

“Saya memerlukan kekuatan daripada orang lain juga. Saya juga perlu teman untuk bercerita, meluahkan rasa dan berkongsi pendapat cuma saya belum bertemu dengan orang yang sesuai untuk mengisi hati ini,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Bagaimanapun kata Asmidar, andainya selepas ini dia mempunyai kekasih perkara tersebut tidak akan disembunyikan daripada pengetahuan orang lain.

“Benda baik tidak perlu kita sembunyikan, cuma ia kisah peribadi yang saya rasa tidak perlu digembar-gemburkan.

“Tiba masanya, jika tiba jodoh saya nanti saya akan kongsikan kepada teman-teman semua. Doakan saya bertemu jodoh yang terbaik,” ujarnya.

Asmidar ditemui ketika Majlis Pelancaran Anugerah Piala Jemari Kreatif 2017 Pereka & Jurusolek dan Majlis Pelancaran Produk Kecantikan Le Mia yang diadakan serentak di Slate, The Row Kuala Lumpur pada Selasa.