Penyanyi Anuar Zain mengakui kekurangan ilmu yang luas dalam bidang nyanyian menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran untuk menjadi juri dalam program realiti.

Anuar Zain atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 47, berkata, masih banyak lagi penyanyi yang lebih layak menjadi juri berbanding dirinya.

"Sebelum ini saya pernah menerima tawaran untuk menjadi juri dalam dua program realiti Akademi Fantasia dan Malaysian Idol.

"Namun selepas itu, saya rasa merasakan bahawa diri ini tidak layak dan sesuai untuk menjadi juri kerana kekurangan ilmu.

"Apa yang saya ada cuma berdasarkan pengalaman sebelum ini bergelar penyanyi kerana saya masih belum cukup ilmu untuk mengkritik atau membetulkan nyanyian seseorang itu.

"Jadi biarlah orang yang pakar dalam bidang nyanyian menggalas tanggungjawab ini kerana ia bukan bidang saya untuk melakukan semua ini," katanya kepada Astro Gempak.

Anuar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anuar Zain Album Tour 2017 dan Muzik Video "Cinta Takkan Berakhir", di Le Meridian, Kuala Lumpur, Selasa.

Tambah Anuar dia masih menerima banyak tawaran untuk menjadi juri dan pengkritik namun terpaksa menolaknya kerana mempunyai kekurangan ilmu dalam bidang nyanyian.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi