Pelakon filem Tombiruo, Zul Ariffin mendedahkan dia berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga seperti rakan-rakan lain.

Bagaimanapun, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 31, masih belum mempunyai perancangan ke arah itu.

"Siapa tak teringin untuk naik pelamin? Melihat rakan-rakan lain yang mempunyai isteri dan anak-anak, saya juga mempunyai niat yang sama.

"Namun begitu, saya sebagai manusia biasa hanya berserah kepada ketentuan takdir. Soal jodoh dan pertemuan sudah dirancang Allah, saya hanya mengikutnya sahaja," kata Zul kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Zul enggan mengulas lanjut khabar yang mendakwa dirinya sudah berpisah dengan kekasihnya, Zahirah Macwilson.

"Mengenai dakwaan berpisah, saya tak akan membuka mulut. Sama seperti sebelum ini, jawapan saya kekal sama. Jika boleh, saya tak mahu berkongsi kisah cinta.

"Bukannya bersifat mengada-ngada, tetapi perkara itu beri kesan kepada kerjaya. Sedikit sebanyak berita berkaitan hal peribadi memberi tekanan dan kesan buat kerjaya saya.

"Seboleh-bolehnya, saya tak mahu ulas mengenai perkara tersebut. Saya tak kisah mengenai khabar atau anggapan orang lain, sama ada kami masih bersama atau tidak," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran permainan mudah alih J Revolusi.

Mengambil inspirasi filem J Revolusi yang bakal ditayangkan pada 2 Mac ini, Zul menyumbangkan suara dan karakter yang dilakonkan dalam filem itu dalam aplikasi permainan mudah alih yang dibangunkan oleh MP Labs.

"Saya berbangga aplikasi permainan mudah alih ini menggunakan watak dan suara saya. Permainan mudah alih ini boleh dimuatturun secara percuma di App Store dan Play Store. Saya berharap agar permainan serta filem ini mendapat sambutan," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal