Pelakon Sabrina Ali mendedahkan dirinya selesa berlakon dalam filem bergenre seram.

Selepas muncul dalam filem seram Khurafat dan Munafik, Sabrina kini muncul dalam filem seram terbaru arahan Eyra Rahman yang berjudul Dorm Melati.

"Saya selesa berlakon dalam filem seram. Walaupun saya selalu menerima karakter dalam filem seram, watak dalam setiap filem yang saya lakonkan berbeza.

"Menerusi filem Dorm Melati, saya membawakan watak seorang wanita 'dark and deep'. Sejujurnya, saya suka karakter sebegini kerana memerlukan lebih banyak emosi dan ekspresi wajah," kata Sabrina kepada Astro Gempak.

Berlakon dibawah arahan Eyra, Sabrina selesa berbincang dengan pengarah wanita tersebut dalam merealisasikan sesebuah adegan.

"Saya suka bekerja dengan Eyra kerana dia merupakan seorang pengarah yang baik. Sebelum masuk ke set, saya terlebih dahulu membuat kajian tersendiri mengenai watak yang bakal saya bawakan.

"Eyra pula merupakan seorang sutradara yang mempunyai ekspektasi sendiri. Kami sama-sama berdiskusi untuk menjayakan sesebuah watak.

"Eyra mempunyai pandangan tersendiri dan dia boleh dibawa berbincang. Saya rasa sangat bertuah dapat bekerja dengan Eyra," kata Sabrina lagi.

Selain Sabrina, filem ini menampilkan Aedy Ashraf, Nadia Aqilah, Ardell Aryana dan ramai lagi. Filem terbitan MIG ini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 12 Januari 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal