Peserta Duo Star, Haiza, terharu apabila suaminya, Norhanapfe Omar sanggup berulang alik dari Kuala Lumpur ke Benut, Pontian Johor demi restoran mereka #LarutMalam.

Haiza ketika ditemui berkata, dia sama sekali tidak menyangka suaminya sanggup menawarkan diri selepas berbincang mengenai perancangan mereka untuk melancarkan semula restoran ibunya yang sebelum ini dikenali sebagai Zainab Larut Malam.

“Sekarang ini restoran tersebut sedang diubahsuai dan sudah 80 peratus siap. Kami tukar nama kepada #LarutMalam supaya lebih hipster.

“Kami juga telah menukar konsep restoran tersebut yang sebelum ini agak konvensional kepada suasana yang lebih moden, namun masih ada ciri-ciri tradisionalnya.

“Kalau tidak ada aral melintang, #LarutMalam akan mula beroperasi bulan depan,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Haiza lagi, sementara menunggu restoran beroperasi suaminya berulang-alik ke kampung halaman mereka untuk memastikan semua proses berjalan lancar.

“Apabila dia sendiri yang menawarkan diri untuk memantau restoran kami, saya terkejut kerana tidak sangka.

“Tetapi dia (suami) tidak kisah kerana mahu memastikan semuanya berjalan lancar. Selepas ini orang-orang Benut bolehlah lepak di restoran hipster kami,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, untuk memberi kelainan kepada restorannya, Haiza bercadang untuk mengundang ‘buskers’ membuat persembahan pada setiap hujung minggu untuk menghiburkan pelanggan.

“Sambil menikmati resepi warisan ibu saya seperti Kopi Gobres, Kentang Goreng Berlada, Lempeng Kelapa Tok Uban dan yang lain-lain tu, boleh juga dengar muzik dimainkan ‘buskers’.

“Saya juga akan berada di restoran jika tiada urusan kerja. Sementara ini, suami saya akan menjadi orang kanan memantau operasi restoran dan dibantu adik-beradik yang lain,” ujarnya.

Haiza ditemui ketika majlis pelancaran salun berkonsep jenama Aveda di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perkembangan lain, Haiza terlibat dalam program Duo Star bergandingan bersama Aepul Drama Band yang bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria (!04) dan Ria HD (123).