Jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri mengakui dirinya risau akan keselamatan anak-anaknya selepas sering mendedahkan aktiviti sehariannya menerusi media sosial dan program terbaru siaran Astro, Oh Abang Kosmetik (OAK).

Menurut Aliff, dia melakukan semua perkara ini untuk memperkukuhkan jenama D’Herbs dalam bidang perniagaan.

“Untuk menjadi seorang usahawan kosmetik berjaya di masa kini, saya akui saya harus ke depan. Keadaan sekarang tidak sama seperti 10 tahun lepas.

“Di zaman moden ini, maklumat semuanya di hujung jari, jadi saya harus ke depan untuk memperkenalkan dan memperkukuhkan jenama saya menerusi media sosial. Kini, saya pula terlibat dalam program OAK dan program tersebut turut memaparkan realiti sebenar kehidupan saya.

“Ingin saya tegaskan, saya bukan mahu menunjuk kekayaan, tetapi saya buat semua ini untuk mencari rezeki dan memberikan inspirasi kepada semua anak muda di luar sana,” kata Aliff kepada Astro Gempak.

Tambah Aliff, dia mempunyai perancangan tersendiri untuk menjaga keselamatan anak-anaknya.

“Berkenaan dengan keselamatan anak-anak, sejujurnya, saya rasa takut dan tergugat. Saya pun tidak tahu sama ada orang luar mempunyai niat jahat atau pun tidak.

“Tapi apakan daya, saya juga manusia biasa. Saya cuba yang terbaik untuk keselamatan anak saya. Saya mengambil langkah berjaga-jaga dan mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan anak-anak saya selamat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Buku Duit Strategi Ajaib di MPH Nu Sentral pada Khamis.

Buku tersebut merupakan sebuah buku perkongsian khas Aliff bagi mereka yang bersemangat untuk menceburi bidang keusahawanan. Buku ini boleh didapati di gedung buku MPH dengan harga RM59.90.

Jangan lupa saksikan aksi dan keletah kehidupan seharian Aliff dalam rancangan Oh Abang Kosmetik yang bersiaran malam ini, setiap Isnin, jam 9.30 malam di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal