Pelakon Hollywood, Johnny Depp sah bercerai dengan pelakon Amber Heard selepas bekas isterinya memfailkan penceraian lapan bulan lalu.

Penceraian itu akhirnya berjaya disahkan selepas Depp dan Heard mencapai kata sepakat berhubung tuntutan harta sepencarian dan turut menamatkan pergaduhan antara pasangan terbabit semenjak penceraian difailkan.

Sebelum ini, Heard pernah memberikan kenyataan berkenaan keganasan rumah tangga dan Depp juga turut membuat ugutan kewangan.

Memfailkan penceraian pada Mei 2016, Heard mendakwa Depp melakukan penderaan terhadap dirinya sepanjang berkahwin.

Dakwaan tersebut disangkal oleh peguam Depp dan mendakwa isu itu sengaja ditimbulkan oleh Heard untuk mempengaruhi persetujuan awal berhubung tuntutan kewangan terhadap Depp.

Permohonan yang dibuat di Mahkamah Daerah Los Angeles itu turut menyenaraikan pembahagian harta sepencarian. Depp diarahkan untuk membayar sebanyak AS$7 juta (RM31.24 juta) kepada Heard.

Heard dikatakan bakal menyerahkan wang tersebut kepada badan kebajikan.

Sumber: Reuters