Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui dirinya rasa berdebar menjelang pernikahan yang bakal berlangsung pada penghujung Mac.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 32, bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya, Noor Nabila Mohd Noor, 33.

"Saya akui saya rasa berdebar. Kadangkala saya rasa sukar untuk tidur dan melelapkan mata. Makin lama makin susah. Apa yang saya risaukan pun, saya sendiri kurang pasti.

"Selalunya, kalau saya tahu apakah punca yang membuatkan saya rasa resah, saya akan selesaikannya secepat mungkin. Tapi kali ini berbeza kerana saya rasa blur tanpa sebab," kata Sharnaaz kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Sharnaaz juga melakukan persiapan dan persediaan untuk bergelar seorang suami.

"Tarikhnya semakin hampir. Saya sedar yang selepas ini tanggungjawab menjadi semakin besar. Selepas berkahwin, saya harus bekerja lebih kuat untuk isteri dan keluarga.

"Tidak hanya melakukan persiapan perkahwinan, saya juga mendekatkan diri kepada Allah sebagai persediaan untuk bergelar suami. Saya sendiri tidak menyangka saya akan berkahwin. Rasanya baru semalam saya masuk ke dalam industri ini," katanya lagi.

Selepas selesai majlis merisik pada 18 Disember 2016, Sharnaaz mengambil keputusan untuk mengahwini Nabila selepas berkenalan hampir dua tahun.

Sharnaaz dan Nabila bakal melangsungkan pernikahan pada 31 Mac ini di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Kuala Lumpur.

Teks oleh: Kamaruddin Razal