Bertahun memperjuangkan irama nasyid kontemporari, misi Rabbani kini bukan lagi memperkukuhkan kedudukan atau bisnes sebaliknya lebih giat menyebarkan misi terhadap tanggungjawab sosial (CSR) meliputi kerja kemasyarakatan.

Terkini, Rabbani berbesar hati dapat berganding bahu dengan Maahad Tafaqquh Fiddin (MATAF) menjayakan Majlis Makan Malam yang bermatlamat merealisasikan pembinaan kompleks lebih besar.

Wakilnya, Azadan Abdul Aziz berkata majlis untuk mengumpul tabungan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Mellinium Kepala Batas, Pulau Pinang itu pada 28 Januari ini.

Katanya, pusat tahfiz dan talaqqi yang dibina pada 2013 di Kuala Ketil, Kedah kini dihuni kira-kira 170 pelajar sekali gus memerlukan penambahbaikan bagi keselesaan pelajar.

“Maahad ini asalnya dinamakan Pusat Bimbingan Annur yang memulakan operasi kira-kira 10 tahun lalu dengan permulaan seramai 80 murid. Kemudian sekolah berkonsepkan pendidikan Islam berteras Al Quran dan Kitab Turath ini dinaik taraf sebagai MATAF.

“Besar harapan kami kemunculan Rabbani mengadakan persembahan khas pada majlis berkenaan dapat menarik syarikat korporat atau persendirian menghulurkan sumbangan,” katanya.

Orang ramai boleh memberi sumbangan menerusi pembelian meja untuk 10 orang berharga RM500 bagi jenis Zamrud, Delima (RM1,500), Berlian (RM3,000) dan Intan (RM5,000).

Mereka yang ingin maklumat lanjut mengenai program Makan Malam Amal Bersama Rabbani boleh menghubungi Muhammad Hafizudin Haris di 017-5066119 atau Ruzaimi Mohd Adnan (019-4949040).

Sumbangan juga boleh mendepositkan wang ke akaun Maybank Maahad Tafaqquh Fiddin An-Nur (552040104914) atau hubungi Ahmad Marzuki di 012-5878010.

Sementara itu, mereka masih giat mempromosikan album baharu yang diedarkan pada September berjudul Yang Benar.

Mendapat sentuhan Edry Abdul Halim yang juga pencipta lagu hits mereka sebelum ini, Intifada, Rabbani turut bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu Muhammad Al Ameen selain bersama Black menerusi dendangan berjudul Dalam Aku.