Pelakon dan penyanyi Tomok, Fattah Amin dan Pekin bakal menyanyi dan busking atas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter pada 21 Januari ini.

Acara Busking Aid On Train itu bertujuan untuk menghiburkan penumpang komuter secara santai sambil memungut derma untuk rumah kebajikan.

Pekin Ibrahim berkata program itu merupakan projek atau tugasan dia dan rakan artis yang terlibat sebagai pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurisan Sarjana Pengurusan Industri Kreatif.

"Sebenarnya program ini dilakukan atas tujuan amal dan menjadi sebahagian daripada tugasan sesi terakhir projek Pembangunan Masuarakat lll kami.

"Jadi busking ini bukan sahaja kami bertiga sahaja terlibat malah 14 selebriti tempatan lain yang berada dalam kelas yang sama turut menjayakan projek ini.

"Jika sebelum ini orang lebih mengenali saya sebagai pelakon tetapi kali ini secara eksklusifnya orang boleh lihat saya menyanyi dan bermain alat muzik.

"Selain itu program ini juga bakal menyokong kempen Green World yang mana sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya memelihara alam sekitar dengan menaiki perkhidmatan awam keretapi ini," katanya.

Pekin ditemui ketika sidang media Busking Aid On Train yang diadakan di KL Sentral, Khamis.

Antara selebriti lain yang terlibat adalah seperti Aril Pilus, Zahid Baharudin, Akma Abdullah, Haziq Rosebi, Maulana AF, Ashraf Pretty Ugly dan ramai lagi.

Busking Aid On Train yang akan bermula pada jam 10.30 pagi ini bakal diadakan di stesen komuter Sungai Buloh, Bandar Tasik Selatan dan berakhir di KL Sentral.
Teks oleh: Syafiqah Jalal