Pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah memberi kesan kepada rakyat negeri Sarawak termasuk artis kelahiran negeri tersebut.

Kehilangan tersebut amat dirasai berikutan Adenan merupakan seorang ketua menteri yang disayangi dan sangat disanjungi rakyat negeri itu.

Adenan juga merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Antara artis yang turut berduka mengenai kehilangan Adenan adalah Anding, Hafiz Suip dan Bob Yusof.

Bekas peserta Akademi Fantasia 2, Anding, telah menulis kapsyen di Instagramnya dan meluahkan rasa dukanya; "Inalillahiwainnailaihirojioun..Sarawak menangis hari ini.Kehilangan besar buat bangsa-bangsa ku yang baharu merasa nikmat ketulusan seorang pemimpin.Akhirnya Allah lebih menyayangi nya..Ujian besar buat semua rakyat Sarawak.Namun,kita harus sedar,kitalah penyambung warisan..Pemergian nya sebelum kita menyedarkan kita untuk terus bersatu dan bangkit demi Ibu Pertiwiku tercinta..You will be missed Tok Nan..Al Fatihah buatmu.."

Sementara itu, Bob Yusuf pula menerusi muat naik di Instagram berkata, "Perginya seorang Negarawan Yg Di Hormati Dengan segala dukacita dimaklumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Hj Adenan Hj Satem telah kembali kerahmatullah pd jam 1.20 ptg td... sama2 kt sedekahkan Al-Fatihah dan semoga rohnya ditempatkan dikalangan org yg beriman disisi Allah SWT."

Hafiz Suip turut berkongsi khabar duka tentang pemergian Allahyarham menerusi kapsyen di Instagramnya; "Al-fatihah to our beloved CM Sarawak..the one who really fight for sarawak..semoga ditempatkan dikalangan org beriman..Amin."

Adenan, 72, yang hampir tiga tahun menjadi ketua menteri, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan dekat sini pada 1.24 tengah hari Rabu.

Terdahulu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan jemaah menunaikan solat jenazah selepas solat Zuhur di masjid tersebut.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, Petra Jaya, kira-kira pukul 2.40 petang Khamis.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi