Pelakon remaja, Aedy Ashraf mengakui gosip yang melanda dirinya bersama aktres Fasha Sandha memberikan impak kepada kerjaya seninya sebagai seorang pelakon pada tahun 2016.

"Gosip tersebut mungkin memberikan impak kepada kerjaya saya tahun lalu. Namun begitu, sebagai seorang aktor, bukan itu yang saya harapkan.

"Kalau boleh, saya mahu orang mengenali saya menerusi sesuatu yang baik seperti watak yang saya bawakan atau lakonan yang memberi kesan kepada penonton.

"Jika saya mahu mengelak gosip pun, perkara tersebut tidak realistik kerana menjadi lumrah seorang selebriti, kita tidak boleh lari daripada cakap-cakap orang.

"Akhirnya, perkara tersebut dinilai menerusi cara seseorang selebriti itu mengendalikan sesebuah isu atau kontroversi.

"Saya akui gosip tersebut memberi sedikit impak, tetapi kalau boleh, di masa hadapan, saya tidak mahu terpalit lagi dengan perkara sebegitu," kata Aedy kepada Astro Gempak.

Walaupun terpalit dengan gosip, Aedy menjelaskan yang hubungannya bersama Fasha masih akrab.

"Saya baik dengan Fasha sehingga kini. Hubungan kami seperti seorang adik dengan kakak.

"Saya mengenali Fasha ketika di zaman kanak-kanak. Sekitar usia saya sembilan tahun, saya sudah mula berlakon bersama Fasha.

"Kepada mereka yang tidak tahu mengenai hubungan baik yang sudah terjalin mungkin akan salah anggap. Sedangkan saya hanya menganggap Fasha sebagai kakak saya sahaja," katanya ketika ditemui di majlis tayangan filem Dorm Melati baru-baru ini.

Menerusi filem arahan Eyra Rahman ini, Aedy membawakan watak seorang remaja bernama Adam.

"Dalam filem Dorm Melati, Adam bersama empat sahabatnya bercuti ke sebuah kem bernama Dorm Melati. Sebalik percutian tersebut, Adam mempunyai agenda tersendiri.

"Adam mahu mencari roh seorang gadis bernama Melati yang dikatakan banyak menggangu pelawat yang berkunjung di situ," katanya.

Filem terbitan MIG ini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini (12 Januari 2017).

Teks oleh: Kamaruddin Razal