Jutawan kosmetik yang dikenali dengan nama Datuk Seri Vida (DSV) memang terkenal dengan aksesori dan fesyen ‘blig-bling’nya, namun menerusi The House Musim kedua, DSV tampil tanpa imej tersebut.

Malah, wanita ini sanggup menyahut cabaran The House untuk mempamerkan kisah sebenar kehidupannya bersama keluarga tercinta.

DSV ketika ditemui Astro Gempak memberitahu, dia menerima tawaran untuk bersama The House 2 kerana mahu meluangkan masa bersama suami dan anak-anaknya.

“The House 2 telah merapatkan lagi hubungan saya dan anak-anak. Saya memang gunakan sebaik-baiknya masa yang ada di sini kerana setiap saat yang berlalu sangat berharga buat kami.

“Tak pernah saya rasa seronok bersukan, tidur di dalam khemah, menjual nasi lemak, teman Cik B memancing dan buat macam-macam lagi aktiviti yang dah lama saya tinggal seperti pergi ke pasar tanpa pembantu serta banyak lagilah,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya terpaksa ke mahkamah ketika proses penggambaran sedang berlangsung, DSV tiba-tiba sebak.

“Saya bersyukur Allah beri saya anak-anak yang memahami seperti Cik B dan Kacak serta suami yang tidak henti-henti memberi semangat.

“Luluh hati saya bila tengok Kacak menangis kerana sedih melihat saya kepenatan. Saya tidak sanggup nak tengok dia menangis lagi,” katanya sebak.

Menerusi The House episod 6, DSV dan anak-anak bersama suami juga sempat melakukan solat hajat sebelum Cik B dan Kacak mengaji bersama ibu kesayangan mereka itu.

“Itulah satu-satunya perkara yang saya suka tekankan kepada anak-anak saya. Saya akan ulang setiap hari tentang solat dan mengaji.

“Bagi saya, sejauh mana pun kita pergi...solat dan mengaji jangan sesekali dilupakan, kerana DIA tak akan lupakan kita, kalau kita selalu ingat kepada DIA,” ujarnya.

Dalam pada itu, DSV berharap agar para penonton boleh menyelami kisah hidup mereka sekeluarga yang penuh dengan emosi suka dan duka.

“Setiap apa yang anda lihat dalam The House, itulah yang sebenarnya berlaku. Tiada skrip dan lakonan. Ia adalah realiti, bukannya dibuat-buat.

“Kepada semua, ingatlah jika kita diberi ujian jangan berputus asa sebaliknya perlu terus cekal dan bangkit jika mahu berjaya,” katanya mengakhiri perbualan.

Untuk menonton DSV menjalani kehidupannya di The House, klik di sini ---> THE HOUSE

Oh ya! Jangan lupa saksikan episod terakhir The House 2 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) esok (Rabu), pukul 9.30 malam.