Pelakon drama bersiri Awak Sangat Nakal, Sharnaaz Ahmad bakal melangsungkan pernikahan dengan kakak kepada aktres dan pengacara Neelofa, Noor Nabila pada 31 Mac 2017.

Selepas selesai majlis merisik pada 18 Disember 2016, Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 32, mengambil keputusan untuk mengahwini Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd Noor, 33, selepas berkenalan hampir dua tahun.

"Alhamdulillah, sudah tiba masanya untuk kami menamatkan zaman solo masing-masing. Majlis pernikahan bakal berlangsung pada 31 Mac di kediaman pengantin perempuan di Kuala Lumpur.

"Majlis resepsi pihak perempuan akan berlangsung pada 2 April di Kuala Lumpur manakala majlis resepsi pihak saya akan berlangsung pada 16 April di sebuah hotel di Pulau Pinang.

"Tempat spesifik bagi kedua-dua majlis akan diberitahu kemudian. Saya berharap agar semuanya berjalan lancar dan memohon doa yang baik-baik dari semua pihak," kata Sharnaaz yang ditemani Nabila ketika majlis sidang media khas pengumuman perkahwinan mereka petang tadi.

Sepakat untuk tidak akan menjalankan majlis pertunangan, pasangan ini bersetuju untuk terus melangsungkan pernikahan pada penghujung Mac ini.

Di majlis pernikahan mereka nanti, Sharnaaz bakal menyerahkan lima dulang hantaran kepada Nabila, manakala Nabila bakal membalas sebanyak tujuh dulang hantaran.

Jumlah wang hantaran yang bakal diberikan oleh Sharnaaz kepada Nabila pula dirahsiakan nilainya.

Teks oleh: Kamaruddin Razal