Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mengakui lebih mudah untuk bernyanyi di hadapan jutaan penonton berbanding berlakon di dalam pementasan teater Dia Semanis Honey.

Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 32, berkata, menyanyi merupakan bidangnya sejak dahulu lagi dan perkara tersebut tidak memberi sebarang masalah kepada dirinya.

"Kalau menyanyi di hadapan jutaan orang pun saya masih mampu untuk menyanyi dengan konfiden.

"Ini kerana saya tahu ia merupakan bidang saya sejak dahulu lagi bergelar seorang penyanyi.

"Tetapi bila suruh buat teater depan orang ramai ia merupakan sesuatu yang baru dan pertama kali untuk saya.

"Jadi berlakon teater ini telah menyebabkan saya rasa amat gementar dan harus membuangkan perasaan itu untuk melakonkan watak yang diberikan dengan baik," katanya kepada Astro Gempak.

Nana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas pementasan Dia Semanis Honey, di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari ini.

Selain Alif Satar, pelakon lain yang terlibat ialah Siti Nordiana, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman web www.airasiaredtic.com.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi