Pelawak Shuib Sepahtu akui setiap minggu akan berasa cuak dengan kejutan selebriti yang bakal muncul dalam program Sepahtu Reunion Live.

Shuib berkata dia, Jep dan Rahim bimbang sekiranya terpaksa melakukan perubahan dalam sketsa mereka pada saat akhir artis jemputan naik ke pentas.

"Setiap minggu kita akan ada elemen kejutan dalam Sepahtu Reunion Live. Bukan penonton sahaja terkejut tetapi kami juga akan terkejut dan cuak kerana kami sendiri tidak diberitahu siapa cameo yang bakal hadir.

"Seperti minggu lalu, kami sendiri terkejut dengan kehadiri Dato' Sri Vida sebagai cameo.

"Yang membuat kami cuak bila dia datang dengan cerita yang berbeza dan lari daripada konsep cerita awal kami.

"Meskipun kami ketika itu dah cuak tetapi kami berjaya pusing kembali cerita itu secara on the spot supaya ia tidak lari dari konsep asal," katanya kepada Astro Gempak.

Minggu lalu Shuib melakukan kejutannya sendiri di Sepahtu Reunion Live apabila dia muncul dengan membotakkan bahagian tengah kepalanya, tanpa pengetahuan Jep dan Rahim.

Perkara tersebut nyata memberi kejutan kepada dua ahli Sepahtu tersebut kerana mereka sama sekali tidak menjangkakan Shuib akan membotakkan kepalanya dan menjadikan dia kelihatan sangat lucu.

Rahim yang akui terkejut dengan perkara itu memberitahu dia juga mahu melakukan elemen kejutan di masa akan datang.

"Memandangkan Shuib dah berani buat kejutan sendiri, lepas ni saya perlu fikirlah elemen kejutan lain yang saya boleh buat supaya persembahan kami menjadi menarik,” katanya.

Sepahtu Reunion Live disiarkan secara langsung dari Sound Stage Studio, FINAS serta menerusi saluran Warna (132) dan Mustika HD (134) setiap hari Jumaat jam 10 malam.