Buat julung kalinya, stesen radio Era FM menganjurkan anugerah Era Digital Muzik Awards (ERADMA) yang menggunakan sepenuhnya medium digital dan media sosial.

ERADMA bakal bersiaran secara langsung melalui Facebook (FB) ERA fm selama sejam bermula jam 9 malam pada 18 Januari ini.

Pengurus Rangkaian Astro Radio, Nazri Noran berkata ERADMA memberi peluang kepada Netizen untuk memilih pemenang dan pengundian seratus peratus dilakukan secara digital melalui website edma.era.fm.

"ERADMA diadakan adalah bagi mengiktiraf bakat anak seni tempatan khasnya dalam bidang nyanyian dan keupayaan mereka menggunakan medium digital dan media sosial untuk mengembangkan lagi bakat dan kerjaya mereka.

"Idea tercetusnya untuk anugerah ini adalah kerana jumlah pengguna media sosial di Malaysia yang semakin bertambah serta banyak bakat baru dilahirkan melalui medium digital/media sosial.

"Pada malam anugerah juga, beberapa selebriti media sosial turut diraikan serta diberi peluang untuk menyampaikan anugerah.

"Selain itu, kelainan untuk anugerah ini adalah ketika malam anugerah kelak, ianya akan di siarkan menerusi FB live era fm," katanya kepada Astro Gempak.

Hanya lima kategori yang dipertandingkan iaitu Penyanyi Kolaborasi Terbaik, Nyanyi Semula Di Sosial Media Terbaik, Lagu Paling Emo 2016, Temubual Tetamu Terbaik Carta ERA 2016 dan Lagu Paling Lama Dalam Carta Era 2016.

Sementara itu, Nazri memberitahu pemilihan artis semua dilakukan berdasarkan penyanyi yang paling lama berada di dalam Carta Era 2016.

"Kriteria pemilihan artis dalam kategori ERADMA adalah dipilih berdasarkan lagu yang paling banyak mendapat permintaan di media sosial atau digital serta artis yang mempunyai paling banyak pengaruh di media sosial," katanya lagi.

Undian dibuka pada 4 Disember hingga 16 Disember. Setiap kategori mempunyai lima pencalonan dan hanya satu kategori sahaja mempunyai satu pencalonan iaitu untuk kategori Lagu Paling Lama Dalam Carta ERA 2016.