Pelakon Fattah Amin pada Ahad, telah melancarkan single terbaharunya, Wanita Terakhir dari Amsterdam di akaun Facebook (FB)nya menerusi aplikasi FB Live.

Fattah berkata, single tersebut berjaya diterbitkan atas usahasama FASTYLE dan Kasi Gegar Entertainment.

"Single ini adalah hadiah ikhlas dari hati saya untuk semua peminat saya di luar sana, saya cukup terharu dengan sokongan yang amat luar biasa terhadap saya sejak akhir-akhir ini. Semoga anda semua terhibur dengan lagu terbaru saya ini", katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Fattah, lagu tersebut dilancarkan secara digital kerana dapat memberi peluang dan berlaku adil kepada semua peminat beliau di Malaysia dan luar negara.
"Saya mendapati selain sokongan padu daripada kelab peminat saya iaitu The FA Team, turut wujud kelab peminat "lofattah" dari seluruh pelusuk dunia.

“Mereka ini mungkin rakyat Malaysia atau orang Melayu yang menetap di luar negara tetapi masih mengikuti perkembangan kerjaya seni saya di Malaysia", ujarnya.

Single ‘Wanita Terakhir’ adalah hasil ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan & Anas Amdan turut boleh dimuat turun secara digital menerusi aplikasi iTunes dan Playstore.

Teaser berdurasi 1 minit boleh di dapati di ruang media sosial Fattah seperti Instagram, Facebook & Youtube.

“Saya memilih melancarkannya secara digital bagi memudahkan semua mendapatkan lagu berkenaan menerusi iTunes atau pun Playstore," katanya.