Penyanyi dan pencipta lagu Yuna memberitahu dia berasa bertuah kerana pernah diundang ke program bual bicara Jimmy Kimmel, kerana bukan mudah untuk mendapat peluang tersebut di stesen TV Amerika Syarikat.

Yuna berkata, bukan mudah untuk menjadi tetamu Jimmy kerana mana-mana selebriti perlu menunggu giliran yang telah ditetapkan pihak produksi.

“Dua tahun lalu saya pernah dijemput untuk menjadi tetamu undangan Jimmy Kemmel dan ketika itu saya rasa amat gembira.

“Difahamkan juga slot saya itu sebenarnya digantikan dengan selebriti lain kerana dia tidak dapat hadir untuk sesi temu ramah dan membuat persembahan nyanyian.

“Jadi kalau nak muncul semula dalam program TV di AS, gilirannya memang lama dan panjang kerana penggiat seni di sana sangat ramai untuk diundang,” kata Yuna ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Yuna lagi, segala urusan mengenai jemputan program TV di AS terdapat agensi yang akan menguruskan hal itu.

Mereka sangat komited apabila diberi tanggungjawab untuk mempromosikan artis mereka dalam mana-mana medium penyiaran.

“Industri seni di AS memang luas dan persaingan juga boleh tahan mencabar, jadi agensi yang bekerja untuk artis pun sangatlah berkerja keras.

“Penghargaan wajar diberikan kepada agensi saya kerana dengan usaha gigih mereka, publisiti terhadap karier berjalan dengan lancar,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir