Penyanyi tersohor negara Dato' Siti Nurhaliza akui menyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan adalah merupakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam walaupun berkecimpung dalam dunia hiburan.

Siti Nurhaliza berkata selepas kejayaan besar lagu nasyid berjudul Mikhraj Cinta di Anugerah Industri Muzik yang ke 22 (AIM 22), dia merancang mahu menghasilkan lebih banyak lagu-lagu dalam aliran tersebut.

"Lagu Mikraj Cinta bukan lagu terkahir saya yang berunsur ketuhanan kerana saya mahu teruskan lagi selepas ini.

"Kalau boleh saya mahu menyanyikan lebih banyak lagi lagu-lagu nasyid kalau tidak dapat hasilkan satu album, single pun jadi lah.

"Ini saya lakukan dari sudut tanggungjawab kepada agama kerana di situlah wujudnya peranan sebagai penghibur yang tidak semestinya hanya menyanyi lagu pop berunsur cinta sahaja.

"Lagu-lagu begini boleh menjadi motivasi pada masyarakat bukan hanya hiburan semata-mata," katanya kepada Astro Gempak.

Siti merupakan penyanyi lagu pop yang berjaya memenangi anugerah Lagu Nasyid Terbaik di AIM 22 yang lalu.

Dalam pada itu, Siti memberitahu lebih mudah diterima ramai kerana lagu-lagu berunsur ketuhanan kini lebih moden dan universal

"Nasyid bukan genre yang sudah ketinggalan zaman kerana seandainya gubahan dibuat mengikut kesesuaian peredaran masa ia boleh diperdengarkan dalam apa jua keadaaan," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal