Pelakon dan penyanyi Siti Nordiana akui tidak sanggup berjauhan dengan anak lelakinya, Rayyan.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana memberitahu dia sanggup membawa anak lelakinya ke sesi latihan teater Dia Semanis Honey.

“Tak bolehlah nak tinggal Rayyan lama-lama, saya cepat rindu jadi saya ambil inisiatif bawa dia bersama ke tempat latihan.

“Dalam seminggu, adalah dua tiga kali saya bawa janji dia ada depan mata saya. Tiga hari pun jadilah, tak sangguplah nak tinggal dia.

“Saya akan pastikan supaya dapat luangkan masa dengan Rayyan, saya tak mahu dia rasa sunyi. Sibuk macam mana pun saya akan pastikan ada masa bersama dia.

“Lagipun bila kita dah ada anak ni cara kerja kena lain sikit dan saya kena pandai bahagikan masa antara kerjaya dan anak,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai teater, Nana memberitahu dia harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk memastikan segalanya berjalan dengan baik.

“Sekarang ini saya memang fokus pada teater dan saya kena berani untuk berhadapan dengan orang ramai ketika mempersembahkan teater nanti.

“Sebelum ini, memang ada rasa takut-takut sikit, tapi lepas berlatih berkali-kali rasa yakin itu datang dengan sendiri.

“Ini merupakan pengalaman baru untuk saya dan saya akan berikan yang terbaik untuk peminat,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaru, Nana bakal tampil dengan single terbaru pada tahun depan.

Pementasan Dia Semanis Honey yang diarahkan oleh pelakon Dira Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.

Selain Siti Nordiana, pelakon lain yang terlibat ialah Alif Satar, Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Dafi Ismail Sabri, Ungku Hariz serta Marsha Milan Londoh.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga antara RM 40 hingga RM180 di laman sesawang www.airasiaredtic.com.

Teks oleh: Mya Amri