Penyanyi legenda Tan Sri SM Salim meninggal dunia akibat sakit tua pada jam 5.45 petang.

SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, meninggal dunia di rumah anaknya yang terletak di Sering Ukay, Ulu Klang, Ampang.

SM Salim memulakan kerjayanya sebagai seorang penyanyi pada 1950-an terkenal dengan lagu-lagu Melayu klasik dan menjadi pejuang irama tradisional.

SM Salim meninggalkan isterinya, Puan Sri Aishah Abdul Ghani dan tujuh orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51 dan Siti Zubaidah, 35.

Sebelum ini, penyanyi veteran itu lumpuh akibat sakit saraf dan pergerakannya bergantung pada kerusi roda sejak 17 tahun lepas.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Baru pada jam 10.30 pagi esok untuk dimandikan, kafan dan solat jenazah. Jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Ampang, Jalan Ampang.