Penyanyi Najwa Mahiaddin masih lagi menunggu untuk dikurniakan cahaya mata walaupun usia pernikahannya sudah mencecah dua tahun.

Menurut pelantun lagu Got To Go itu, dia dan suami tidak pernah merancang tentang zuriat dan hanyat menyerahkan segalanya kepada takdir Illahi.

“Saya tak merancang untuk dikurniakan anak, yang paling penting sekarang ini ialah teruskan berdoa agar perkara baik itu dipermudahkan.

“Sekiranya saya hamil, perkhabaran itu akan saya kongsikan kepada semua terutama kepada peminat.

“Buat masa sekarang saya juga sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan persembahan untuk majlis korporat dan lain-lain acara,” kata Najwa ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Najwa juga memberi penjelasan yang dirinya tidak selesa untuk berkongsi cerita mengenai suaminya, Idris Koh Heng Hui di laman sosial.

“Hal peribadi antara saya dan suami memang saya tak kongsi dalam mana-mana platform media sosial seperti Instagram mahupun Twitter.

“Saya lebih suka simpan dan biarlah aktiviti yang kami lakukan hanya antara saya dan dia sahaja tahu.

“Mengenai perkembangan terkini karier nyanyian, saya memang terbuka untuk berkongsi dan tidak berselindung,” katanya.