Beberapa hari lagi tahun 2016 bakal melabuhkan tirainya. Pelbagai cerita, ragam dan kontroversi tercetus dalam dunia hiburan Malaysia sepanjang tahun ini.

Kisah kontroversi dan perceraian dalam dunia hiburan bukan sesuatu yang asing malah ia bagai tidak dapat dipisahkan.

Antara kontroversi yang paling mendapat perhatian sepanjang 2016 ialah:

1) Adi Putra Kahwin Lagi


Sekitar bulan Julai tahun ini, nama pelakon Adi Putra tiba-tiba hangat selepas foto perkahwinan kali keduanya tersebar. Lebih hangat lagi apabila bekas adik ipar kepada isteri keduanya, Norshahida muncul pada sidang media ketika Adi Putra sedang menjelaskan perkahwinan keduanya dengan janda anak satu itu. Baru-baru ini timbul dakwaan rumah tangga Adi dan isteri keduanya retak tetapi perkara tersebut dinafikan Norshahida sendiri .

2) Fara Fauzana Tak Jadi Kahwin


Pengacara popular ini sepatutnya berkahwin pada 17 September lalu, tetapi membatalkan perkahwinannya pada saat-saat akhir. Kontroversi tercetus apabila bekas calon suami Fara, seorang ahli perniagaan, Mohamed Hafiz Badiuzzaman dikatakan suami orang. Namun Hafiz menafikan dakwaan dia sebenarnya telah berkahwin dan memberitahu tidak tahu apa punca Fara membatalkan perkahwinan mereka.

3) Kisah Cinta Lofattah


Fattah Amin dan Neelofa mula rapat ketika kedua-dua pelakon ini membintangi drama Suri Hati Mr. Pilot. Kemesraan mereka juga telah mewujudkan fenomena ‘Lofattah’ dan peminat mahukan pasangan ini berkahwin. Bagaimanapun, impian peminat untuk melihat ‘Lofattah’ berkahwin tidak kesampaian apabila hubungan mereka putus disebabkan orang ketiga.

4) Elly Mazlein vs Azmi Hatta, Faye Kusairi & Ogy


Nama Elly Mazlein atau kini lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Meletop boleh dikatakan antara yang terhangat tahun ini kerana kronologi kontroversi bekas peserta Gegar Vaganza 3 (GV 3) ini melibatkan bekas suami, Azmi Hatta, kekasih bekas suami pelakon Faye Kusairi dan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy). Kisah penceraian Elly dan Azmi serta kewujudan Faye yang didakwa sebagai pihak ketiga dalam rumahtangga penyanyi Bakawali itu mengundang rasa simpati ramai netizen sehingga ada yang melenting dan menyebelahinya selepas dikritik Ogy pada konsert GV 3.

5) Usher Peluk Yuna, Parodi & Lovebites


Tindakan rapper popular antarabangsa, Usher memeluk Yuna di atas pentas ketika membuat persembahan bersama telah menjadi pertikaian ramai pihak. Kontroversi sekali lagi tercetus apabila insiden tersebut diparodikan. Nama Yuna kembali hangat apabila kesan merah dilehernya akibat alergik kerana gigitan labah-labah yang disangka ‘lovebites’ telah tersebar.

6) Uqasha Senrose Kembali Free Hair


Kecoh apabila pelakon Uqasha Senrose memberi kenyataan kepada media yang dia lega selepas kembali ‘free hair’ kerana tidak perlu lagi hipokrit.

7) Ayda Jebat Diserang Peminat Shila Amzah


Kasihan Ayda Jebat...Pelakon genit ini ‘diserang’ peminat Shila Amzah gara-gara sebuah video yang dimuatnaiknya di IG Stories di laman sosial Instagram, yang dikatakan menyindir Shila Amzah. Walaupun sudah memohon maaf, Ayda tetap dikecam peminat penyanyi itu, malah ada yang buat parodi telefon bimbit Ayda dirampas ketika sedang selfie bersama bintang Running Man, Lee Kwang Soo dalam sebuah majlis.

8) Janna Nick Dikecam Peminat Ruby Rose


Pelakon berbakat besar ini dikecam selepas memberi komen kepada tentang bentuk badan pelakon Ruby Rose yang terlalu kurus. Janna dimaki peminat fanatik Ruby Rose kerana mereka menganggap Janna sengaja menghina fizikal bintang pujaan mereka itu.

9) Yazit, Search, Konsert, Af Jets & Saman


Ini antara kisah yang menjadi perhatian. Hubungan di antara Yazit dan kumpulan Search putus selepas pemain dram tersebut membuat laporan polis dan mendakwa berlaku penyelewengan melibatkan kumpulan rock tersebut dan penganjur Konsert 35 Tahun Search, Af Jets. Penganjur juga bertindak menyaman Search selepas beberapa kontroversi tercetus melibatkan pengajuran konsert ulangtahun tersebut.

10) Gambar Bogel, Video Lucah Atikah Suhaime & Idris Khan


Riuh rendah warga laman sosial pagi beberapa keping gambar bogel didakwa pelakon Atikah Suhaime dan Idris Khan tersebar. Sebelum itu, Atikah, Idris dan juga pelakon Ammar Alfian juga pernah didakwa mempunyai rakaman seks bertiga.

11) Aidil Aziz Tanam Pokok Ganja



Kontroversi melibatkan pelakon Aidil Aziz turut menggemparkan industri hiburan tanah air apabila ditahan bersama dua lagi rakannya kerana disyaki memiliki dadah dan senjata berbahaya.

Ketika serbuan, beberapa pokok yang ditanam dalam pasu dan dedaun kering dalam bekas kaca disyaki ganja turut dirampas.

Malah, berita mengenai kontroversi ini turut mendapat capaian tertinggi sebanyak 1.1 juta pembaca di Astro Gempak.

Bagaimanapun awal bulan lalu, Aidil telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis.