Penyanyi Nubhan mengakui dia kini menjadi lebih matang selepas melibatkan diri dalam selok-belok dunia perniagaan.

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 30, berkata, pelbagai cabaran yang dilalui olehnya membuatkan dia menjadi sesorang yang lebih banyak berfikir dalam melakukan sesuatu keputusan.

"Sepanjang dua tahun mengusahakan produk Juwita Divine ini memang banyak cabaran dan harus saya akui sebagai orang baharu saya banyak membuat kesilapan terutamanya dalam membuat keputusan.

"Selepas apa yang telah berlaku ia membuatkan saya lebih matang dan belajar banyak perkara tentang selok-belok dunia perniagaan.

"Saya kini akan lebih berhati-hati dan berfikir banyak kali sebelum melakukan sebarang keputusan," katanya.

Nubhan berkata demikian pada majlis penjenamaan semula Juwita Divine yang diadakan, baru-baru ini.

Malah kata Nubhan, dia juga bertuah apabila usahanya selama ini mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan dalam meluaskan pasaran produk tersebut.

Kata Nubhan, produk kosmetik itu semakin mendapat perhatian dan permintaan yang tinggi kerana kelainan ramuannya yang berasaskan bahan organik dan rumpai laut.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi