Duo Star: Ernie Zakri Berani Ambil Risiko Nyanyi Lagu Mencabar

28 Disember 2016. 12.43 PM
7,016
Hiburan
Duo Star: Ernie Zakri Berani Ambil Risiko Nyanyi Lagu Mencabar
Penyanyi, Ernie Zakri akui berani mengambil risiko untuk menyanyikan lagu I Want To Spend My Life With You dalam minggu pertama konsert Duo Star baru-baru ini.

Menurut pemilik lagu Jangan Marah itu, dia memilih lagu itu untuk menguji kekuatan vokalnya selain sangat sesuai untuk dinyanyikan dalam mana-mana persembahan nyanyian.

“Saya dan Syamel pilih lagu itu sebab kami dah biasa nyanyi serta dah hafal lirik dengan sepenuhnya.

"Lagu itu memang susah untuk dinyanyikan, jadi dalam Duo Star kami kena buktikan yang kami boleh lakukan dengan sepenuh hati.

“Walaupun lagu itu dipilih di saat-saat akhir, ternyata risiko yang kami pilih telah membuahkan hasil.

“Lebih-lebih lagi dengan komen juri Adibah Noor yang positif membuatkan saya dan Syamel akan bekerja dengan lebih kreatif untuk persembahan yang seterusnya,” kata Ernie dihubungi Astro Gempak.

Tambah Ernie lagi, terpilih untuk menjadi salah seorang bintang Duo Star adalah sesuatu perkara yang tidak terduga dalam karier nyanyian.

Malah, dia berasa sangat terharu dan bersyukur kerana pihak produksi Astro telah memberi platform yang baik untuk membina nama.

“Setiap penyanyi mempunyai impian dan perancangan tersendiri untuk terus bersaing secara sihat dalam industri seni.

“Begitu juga dengan diri saya, peluang menjadi salah seorang bintang Duo Star adalah perkara yang tidak patut saya sia-siakan.

“Pasangan saya Syamel juga seorang yang sangat komited dalam memberi idea dalam tugasan yang diberikan,” katanya.

Duo Star disiarkan setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (132) yang dihoskan oleh Datuk Ac Mizal.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 
 

Artikel Berkaitan


Komen