Hazami Gusar Cipta Lagu Buat Datuk Siti Nurhaliza

27 Disember 2016. 2.38 PM
6,429
Hiburan
Hazami Gusar Cipta Lagu Buat Datuk Siti Nurhaliza
Penyanyi dan komposer, Hazami berasa amat gusar untuk mencipta lagu buat penyanyi popular negara Datuk Siti Nurhaliza untuk album terbarunya.

Menurut pemilik lagu Mungkir Bahagia, dia boleh mencipta lagu untuk Siti Nurhaliza tetapi masih tidak yakin sama ada lagu itu boleh menepati citarasa atau sebaliknya.

“Siti banyak kali meminta saya suruh buat lagu untuk album-album sebelum ini, tapi saya tak dapat memenuhi permintaannya kerana belum bersedia.

“Baru-baru ini ketika membuat persembahan di Istana Negara, Siti datang kepada saya dan mohon sekali lagi untuk buat lagu untuknya.

“Jadi, untuk album terbaru dia saya cubalah memenuhi permintaannya yang tidak pernah henti-henti memujuk saya untuk buat lagu, saya amat berbesar hati,” kata Hazami ditemui Astro Gempak.

Tambah Hazami lagi, melodi lagu untuk Siti Nurhaliza sudah ada dan akan diperdengarkan kepada penyanyi itu dalam waktu terdekat.

“Melodi lagu yang ada dalam simpanan saya memang dah lama saya simpan, harap-harap Siti tertariklah dengan lagu itu.

“Untuk lirik kemungkinan Siti akan tulis, saya hanya fokus kepada susunan muzik dan melodinya sahaja.

“Apa-apa pun, perasaan gusar dan gementar untuk bekerjasama dengan Siti masih lagi menebal. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar, Amin,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir 

Artikel Berkaitan


Komen