Penyanyi Datuk Hattan menasihati golongan artis supaya tidak begitu tabsub dengan media sosial sehingga boleh menjatuhkan imej.

Hattan atau Mohd Shukri Shahabuddin, 52, berkata, perkara ini adalah untuk menjaga eksklusiviti sebagai seorang selebriti.

"Saya berharap agar golongan artis ini tidak begitu taksub dengan media sosial sehingga ia boleh memudaratkan diri mereka sendiri.

"Kadang-kadang saya tidak faham, semua perkara hendak di muat naikkan di media sosial sehinggakan nak pergi ke tandas pun hendak beritahu semua orang dan muat naik gambar.

"Walaupun kuasa media sosial itu memang penting untuk artis ini tetapi mereka juga perlu bijak dalam menjaga nilai eksklusif diri mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Hattan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Astro iaitu Duo Star, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Hattan, dia memahami bahawa ada di antara golongan artis yang terikat sebagai duta produk sehingga memerlukan mereka sentiasa mengemaskini perkembangan terkini.

"Saya faham ada ramai di antara artis yang terikat sebagai duta produk yang memerlukan mereka sentiasa mengemaskini perkembangan tetapi jangan keterlaluan sehingga ia mampu merosakkan reputasi sendiri," katanya.

Duo Star telah mula bersiaran pada 25 Disember lalu menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9 malam.

Duo Star menyaksikan pasangan Erni Zakrie & Syamel, Aepul Drama Band & Haiza, Kaka & Awi Rafeal, Ning Baizura & Haris Baba, Yassin & Ila Damia, Ayai Illusi & Firman, Ronie & Sarah dan Aweera & Asfan bertanding merebut gelaran juara.

Mereka akan di adili sepenuhnya oleh juri profesional yang bertanggungjawab untuk menilai persembahan iaitu penyanyi Datuk Hattan, pengarah muzik Datuk Acis dan Adibah Noor.

Manakala Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos Duo Star.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi