Syamel Impikan Konsert Mega Istimewa Buat Peminat

23 Disember 2016. 11.34 AM
2,134
Hiburan
Syamel Impikan Konsert Mega Istimewa Buat Peminat
Meskipun baru kurang dua tahun menapak dalam industri muzik, namun penyanyi Syamel akui sudah memasang impian untuk memiliki sebuah konsert mega satu hari nanti.
 
Naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF 2015), Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 23, berkata konsert tersebut nanti bakal menjadi buah tangannya yang istimewa khas buat para peminatnya.
 
"Saya teringin sangat hendak menyanyi di atas pentas berskala besar dan disaksikan oleh ramai orang. Itu salah satu impian saya.
 
"Konsert itu pasti amat istimewa kerana ia sebahagian daripada buah tangan saya buat peminat saya yang selama ni tidak henti menyokong saya dalam susah dan senang.
 
"Tapi sebagai artis baru banyak lagi yang saya perlu belajar untuk sampai ke tahap itu," katanya kepada Astro Gempak.
 
Sementara itu, Syamel turut memberitahu dia bakal menghasilkan lebih banyak lagi lagu kualiti pada tahun hadapan.
 
"Saya mahu mencipta lebih banyak lagu yang terbaik buat peminat saya supaya lagu itu dorang boleh ingat sampai bila-bila, insya-Allah," katanya lagi.

Mengenai perkemangan lain, Syamel bakal muncul dalam rancangan Duo Star yang akan disiarkan bermula 25 Disember ini menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad pukul 9.00 malam.
 
Teks oleh: Syafiqah Jalal
 

Artikel Berkaitan


Komen