Pengarah filem Ahmad Idham bakal muncul dengan filem genre seram tahun hadapan.

Idham atau nama sebenarnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 42, kembali mengarah filem seram atas permintaan ramai.

"Ramai peminat yang bertanyakan kepada saya, bilakah saya akan kembali dengan naskah filem seram yang menjadi signature saya.

"Mereka merindukan sentuhan saya mengarahkan filem-filem seperti Jangan Pandang Belakang, Niyang Rapik dan banyak lagi.

"Insya-Allah, saya bakal muncul dengan filem seram tahun hadapan," kata Idham kepada Astro Gempak.

Filem arahan Idham itu akan mengambil pendekatan berbeza berbanding filem-filem sebelum ini.

"Apa yang menariknya, saya sedang mencari novel seram yang sesuai untuk diadaptasikan dalam naskah filem.

"Saya mahu menjalankan kajian secara intensif terhadap novel tersebut agar jalan ceritanya sesuai untuk diangkat dalam versi filem," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Idham baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Minah Moto lakonan Dayana Roza dan Ariz Lufias. Filem itu bakal ditayangkan di pawagam tahun hadapan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal