Pertama kali beraksi secara langsung dalam Sepahtu Reunion Live, ketiga-tiga ahli kumpulan itu akui amat bimbang jika salah seorang mereka terlepas cakap atau menyentuh sensitiviti orang lain.

Jep Sepahtu berkata, sensitiviti adalah perkara utama yang sentiasa dititikberatkan oleh Sepahtu kerana mereka perkara demikian suka dijangka, tambah-tambah lagi ketika sedang membuat persembahan spontan dan secara langsung.

"Kami masing-masing paling takut jika kami terlepas cakap dengan menyentuh perkara sensitif bila mengadakan persembahan live.

"Kami memang amat jaga isu-isu sensitif, biarlah kami cakap mengenai diri masing-masing daripada cakap tentang orang.

"Yelah kami pun tak mahu ia akan menyusahkan banyak pihak dikemudian hari.

“Lagipun kami dah setuju dan rela jika kami sahaja yang menjadi bahan jenaka meskipun usikan itu agak melampau," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai cabaran membuat persembahan secara langsung, Shuib memberitahu banyak perkara yang perlu mereka jaga dan atur.

"Bukan mudah untuk melakukan persembahan live. Spontan mungkin kami sudah biasa kerana sebelum ini pun show Sepahtu Reunion memang kami lalukukan hanya berdasarkan tajuk dan jalan cerita yang diberi.

"Tetapi kali ini, bila ia dilakukan secara langsung perkara paling penting sekali kami perlu titik beratkan adalah timing dan kami memang perlu disiplin dengan masa kerana rehat ketika iklan itu hanya tiga minit sahaja.

"Apatah lagi, kami tiada rehearsal atau latihan dan hanya datang bincang kemudian terus mulakan persembahan kerana itu konsep yang diberi.

"Tapi setelah melalui persembahan pertama ini, kami boleh katakan boleh tahan jugalah dan semuanya berjalan dengan baik walaupun kelam-kabut itu memang tidak boleh dielak," kata Shuib pula.

Sepahtu Reunion Live disiarkan secara langsung dari Studio Sound Stage FINAS, menerusi saluran Warna (132) dan Mustika HD (134) setiap hari Jumaat jam 10 malam.

Teks oleh: Syafiqah Jalal