Penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti akui jatuh cinta dengan keperibadian Allahyarham Puan Sri Saloma.

Menurut Krisdayanti atau lebih mesra dengan panggilan KD, dia bakal mengadakan satu segmen khas buat biduanita negara itu sempena konsert Romansa yang akan diadakan pada Februari tahun depan.

“Saya begitu tertarik dengan Puan Sri Saloma kerana kebesaran nama beliau menerusi suaminya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

“Saya memang meminati P.Ramlee dan sering menyanyikan lagu-lagu beliau. Ketika konsert saya di Malaysia dahulu pun saya ada memuatkan segmen tribute lagu-lagunya.

“Saya suka belajar dan membaca mengenai biografinya dan di situ tertulis nama isterinya, Saloma yang merupakan seorang biduanita.

“Jadi saya mencari dan mengkaji mengenai keperibadian dirinya serta lagu-lagunya. Dari situ saya mula jatuh hati dengan Saloma.

“Beliau juga merupakan satu fenomena dan kalau tidak masakan beliau digelar biduanita. Saya suka suaranya, gayanya dan lenggok nyanyiannya yang saya rasa tidak bisa diulang atau ada pada orang lain,” katanya.
Krisdayanti ditemui ketika sidang media konsert Romansa yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai tribute tersebut, KD memberitahu dia mungkin akan berpakaian ala-ala biduanita negara itu.

“Untuk segmen khas ini, mungkin saya akan tampil menyerupai beliau, dari segi penampilan. Baju memang sudah disiapkan termasuklah susunan lagu-lagunya.

“Selain Puan Sri Saloma, saya juga akan mendedikasikan tribute buat Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad,” ujarnya.

Konsert yang dibawakan oleh Neo Global Sdn Bhd dan Belbis Sdn Bhd ini akan diadakan selama tiga malam berturut-turut bertempat di Istana Budaya.

Krisdayanti turut mengundang beberapa bintang ternama Malaysia untuk memeriahkan persembahan eksklusif itu nanti.

Justeru kepada peminat yang tidak mahu ketinggalan untuk turut sama menjadi sebahagian daripada konsert berkenaan bolehlah mendapatkan tiket-tiket yang sudah mula dijual di www.myticket.asia.

Peminat Krisdayanti juga boleh mendapatkan tikat di laman Facebook rasmi penganjur di NeoBel Indulgence Series.

Tiket untuk ke konsert Romansa Krisdayanti ini berharga RM118, RM258, RM358, RM458 dan RM588.

Teks oleh: Mya Amri