Penyanyi Indonesia Syahrini menjelaskan dia tiada niat untuk menunjukkan kehidupan mewahnya kepada orang ramai menerusi media sosial.

Syahrini atau nama sebenarnya Fatimah Syahrini Zailani, 34, berkata dia cuma sekadar ingin berkongsi aktiviti harian bersama pengikutnya dan menggangap perkara tersebut tidak keterlaluan.

“Banyak pihak sebenarnya yang memahami dengan kerja saya dan kebetulan pula saya ni jenis orang yang bercitarasa tinggi malah apa dipamerkan juga dirasakan tidak keterlaluan untuk dikongsikan.

“Sebenarnya saya ini tiada niat untuk menunjuk-nunjuk aktiviti seharian di sosial media Instagram yang akhirnya boleh mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pekerjaan apa yang dilakukan sehingga membolehkan saya hidup dalam kemewahan.

"Apa yang dikongsikan itu adalah untuk para peminta mengetahui mengenai aktiviti harian yang dilakukan oleh saya sebagai seorang selebriti jadi ia tidak salah untuk berkongsi aktiviti yang dilakukan kepada orang ramai," katanya kepada Astro Gempak.

Syahrini berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi pakaian VHijrah oleh Vie Shanti Khan di Hotel Mandarin Oriental, baru-baru ini.

Menurut Syahrini lagi, dia juga faham bahawa para peminatnya kini bijak dalam membezakan diantara kerjayanya dan kehidupan peribadi.

“Saya rasa peminat juga kini bijak dalam menilai diantara yang mana satu fesyen, sosial atau karya Syahrini,” katanya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi