Adibah Noor Yakin Duo Star Cetus Fenomena Baru

22 Disember 2016. 12.12 PM
3,672
Hiburan
Adibah Noor Yakin Duo Star Cetus Fenomena Baru
Penyanyi dan pengacara, Adibah Noor yakin program realiti baru, Duo Star bakal mencetuskan fenomena dalam industri penyiaran TV.

Menurut Adibah, peserta yang bersaing untuk merebut gelaran juara sangat luar biasa dan kreatif menyanyikan lagu yang diberikan.

“Duo Star pelopor baru kepada program TV yang menampilkan penyanyi lama dan baru berduet di atas pentas dengan cara mereka sendiri.

“Ada antara persembahan peserta yang buat saya terkesima menonton kerana tak sangka mereka mempunyai bakat untuk menyanyikan lagu genre lain.

“Emosi perserta juga tidak dibuat-dibuat dan ada juga yang saya bagi markah 100 peratus sebab terlalu bagus,” kata Adibah kepada Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Adibah lagi, walaupun program ini dibuat secara rakaman tetapi semangat peserta tak pernah luntur untuk memberikan persembahan terbaik kepada juri mahupun penonton.

“Saya sebenarnya lebih suka kalau program ini dibuat secara langsung kerana mempunyai nilai yang tersendiri.

“Tapi atas sebab-sebab tertentu, produksi mempunyai perancangan yang lebih baik untuk di masa akan datang.

“Apa-apa pun, Duo Star memang program menghiburkan dan rugi kalau tak menonton peserta kegemaran anda,” katanya.

Duo Star akan mula bersiaran pada 25 Disember ini disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9 malam.

Duo Star menyaksikan pasangan Erni Zakrie & Syamel, Aepul Drama Band & Haiza, Kaka & Awi Rafeal, Ning Baizura & Haris Baba, Yassin & Ila Damia, Ayai Illusi & Firman, Ronie & Sarah dan Aweera & Asfan bertanding merebut gelaran juara.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir

Artikel Berkaitan


Komen