Penyanyi Najwa Mahiaddin teruja dan kagum dengan pencapaian Yuna kerana berjaya mengharumkan nama negara di industri muzik Amerika Syarikat.

Najwa berkata, kejayaan Yuna telah memberikan inspirasi buat dirinya untuk bekerja lebih gigih dalam menghasilkan lagu yang berkualiti dan diterima ramai.

“Saya sungguh berbangga dengan Yuna, antara penyanyi Malaysia yang berjaya menembusi pasaran luar negara dengan imejnya yang bersahaja.

“Memang bukan mudah, tapi saya akan cuba untuk jadi seperti dia di masa akan datang untuk membuktikan kualiti penyanyi kita setanding diperingkat global.

“Saya yakin, kalau bukan saya ramai penyanyi lain yang boleh mencapai kegemilangan yang serupa dengan Yuna sekiranya kita tidak mudah putus asa,” kata Najwa ditemui Astro Gempak baru-baru ini.

Tambah Najwa lagi, untuk menjadi terkenal seperti Yuna di peringkat antarabangsa dia mempunyai perancangan nyanyian di luar negara.

“Pada bulan Februari 2017, saya akan membuat persembahan di Hong Kong dan juga ingin mengintai peluang di benua Eropah.

“Selepas saya habis belajar di Berklee College Music, Boston, saya ada dapat tawaran untuk menyanyi di sana, tetapi saya tak penuhi tawaran itu atas sebab-sebab tertentu.

“Insha Allah, tahun depan saya akan cuba ambil peluang itu semula sekiranya tawaran itu masih lagi terbuka,” katanya.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir