Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor selamat melahirkan anak sulung hasil perkahwinan dengan aktor Saif Ali Khan.

Anak lelaki yang diberi nama Taimur Ali Khan Pataudi itu dilahirkan di Breach Candy Hospital, Mumbai pada jam 7.30 pagi waktu India.

“Kami berbesar hati ingin mengumumkan kelahiran anak lelaki yang bernama Taimur Ali Khan Pataudi, pada 20 Disember 2016. Kami berterima kasih atas sokongan dan perhatian pihak media sepanjang sembilan bulan kebelakangan ini.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada semua peminat yang menitipkan doa yang baik-baik buat Kareena. Selamat tahun baru untuk anda semua. Ikhlas dari Saif dan Kareena,” kata Saif menerusi sebuah kenyataan yang diberikan kepada pihak media.

Taimur adalah anak pertama hasil perkahwinan Kareena dan Saif yang mendirikan rumah tangga pada 16 Oktober 2012.

Bagi Saif pula, Taimur merupakan anak ketiganya. Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan pelakon Amrita Singh, Saif dikurniakan dua orang anak, Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan

Olahan oleh: Kamaruddin Razal
Sumber: Times of India