Badan Besar Bukan Alasan Tak Mampu Lakukan Aktiviti Sukan Lasak - Sherry Alhadad

20 Disember 2016. 8.38 PM
3,585
Hiburan
Badan Besar Bukan Alasan Tak Mampu Lakukan Aktiviti Sukan Lasak - Sherry Alhadad
Pelakon Sherry Alhadad tidak mahu menjadikan saiz badannya sebagai penghalang untuk melakukan aktiviti sukan lasak.

“Saya terharu kerana dipilih menjadi hos untuk program Extreme Roadtrip, saya tahu bukan mudah untuk saya, seorang wanita berbadan besar melakukan sukan lasak.

“Tapi saya terima cabaran itu untuk cuba apa yang saya boleh lakukan dengan fizikal badan saya. Kalau tak cuba kita tak tahu.

“Memang diakui ada beberapa aktiviti perlu mengikut had berat yang ditetapkan namun itu tak patahkan semangat saya.

“Saya tak mahu badan besar dijadikan alasan untuk tak mampu lakukan aktiviti sukan lasak, saya rasa itu kemahuan masing-masing, hanya berani dengan tidak saja.

“Saya rasa semua orang boleh lakukan dan saiz badan tidak mainkan peranan cuma tahap keyakinan mental dan fizikal perlu kuat,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai program berkenaan, Sherry memberitahu pelakon Elfira Loy dan Ardell Aryana banyak membantu memberikan semangat kepada dirinya.

“Apa yang boleh saya katakan aktiviti seperti ini benar-benar menguji ketahanan diri saya, pernah juga ada satu tahap saya rasa macam nak putus asa.

“Bukan apa, saya tak pernah buat aktiviti sebegini jadi perasaan takut tu tuhan saja yang tahu. Tapi dengan bantuan dan semangat yang diberikan Elfira dan Ardell, saya boleh lakukan.

“Saya sendiri pun tak sangka boleh buat dan kagum dengan diri sendiri, sebab itu saya kata badan besar bukan halangan untuk kita tak cuba sukan lasak,” ujarnya.

Extreme Roadtrip bersiaran setiap Sabtu di Astro Bella (saluran 133) dan Astro Mustika HD (saluran 134) bermula 1 Oktober lalu

Teks oleh: Mya Amri
 

Artikel Berkaitan


Komen